KUALA LUMPUR, 21 Feb: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan tentang Isu
Palestin-Israel.
Anwar
berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau menjelaskan kenyataannya
sebelum ini adalah selari dengan pendirian Hamas dan Fatah.
“Akhirnya saya bagi tahu (Nik Aziz), saya tunduk dengan apa yang
dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirunding di Doha dua minggu
lalu,” katanya selepas pertemuan kira-kira 45 minit itu.
Menurut Anwar, dengan penjelasan itu, beliau menganggap salah faham yang timbul mengenai isu itu sebelum ini selesai.
“Tok Guru Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya, dan saya pun
faham pertimbangan PAS yang cukup tegas dan keras dalam soal Israel.
Bagi saya, kita dah jelaskan dan perkara ini tidak berbangkit dan kita
akan terus dengan program bersama seperti biasa.
“Saya rasa baik kerana telah beri penjelasan terhadap sedikit
sebanyak keraguan dalam hal ini,” katanya yang juga ketua pembangkang
kepada pemberita selepas pertemuan di sebuah hotel di ibu negara pagi
ini.
Anwar dalam pertemuan itu berkata, beliau turut menjelaskan kepada
Nik Aziz bahawa salah faham isu itu timbul ekoran media Umno yang hanya
menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh
akhbar Wall Street Journal bulan lalu.
Ia sekaligus memberi salah tafsiran terhadap pengiktirafan Israel sedangkan beliau tidak bermaksud sedemikian.
“Masalahnya saya sebut, media Umno hanya guna bahagian pertama
sahaja, bahawa ada kesediaan mengiktiraf dan mengawal keselamatan tetapi
tidak ditekankan ‘tertakluk kepada syarat-syarat, contingent’,” katanya
dipetik harakah daily.
Antara syarat tersebut katanya, termasuk pengunduran tentera Israel
dari Palestin dan negara arab lain, menghentikan kepungan terhadap Gaza
dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.
Dalam pada itu, Anwar juga mendakwa pendiriannya dengan PAS bukan
perbezaan ketara namun yang berbeza sebenarnya adalah dengan Umno.
Menurutnya, Umno bersikap hipokrit apabila mendabik dada kononnya
mereka tidak mengiktiraf Israel sedangkan pada masa sama mengadakan
hubungan perdagangan dengan negara itu.
Malah perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan
sendiri masing masing mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari
negara itu, kata Anwar.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26899
No comments:
Post a Comment