(Oleh: Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda (KEADILAN), Shamsul Iskandar Mohd
Akin mendesak Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hishamuddin Tun
Hussein memberi penjelasan mengenai hubungan polis dengan Israel.
Shamsul berkata, isu itu berhubung pendedahan beberapa blog pro Umno mengenai penglibatan Israel dalam kontrak PDRM, sekaligus
mengukuhkan dakwaan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Siri pendedahan pertama hubungan dengan Israel itu mula didedahkan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat April tahun
lepas, sehingga beliau digantung dari menghadiri persidangan di
Parlimen.
“Saya desak KDN tampil jelaskan perkara ini kerana semakin hari ada sahaja pendedahan terbaru hubungan dengan Israel.
“Hishamuddin tidak boleh berdiam diri, beliau mesti jelaskan perkara
sebenar kerana melibatkan perkara serius, jangan pula kita digelar
sebagai agen Yahudi,” kata Shamsul.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan semula serangan polis
semasa perhimpunan aman, Bersih pada 9 Julai lalu yang didakwa
menggunakan kanister yang sama diguna Israel terhadap rakyat Palestin.
“Isu kanister ini boleh dijadikan bahan bukti kerana ianya digunakan pihak Israel terhadap Palestin,” katanya.
Minggu lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak
agar siasatan dijalankan ke atas dakwaan berhubung penyelewengan dan
penglibatan pihak Israel dalam kontrak PDRM.
Dalam laporan polisnya, ketua pemuda pertubuhan itu, Irwan Fahmi
Ideris berkata siasatan perlu dijalankan ke atas dakwaan pengagihan dan
pemberian projek melibatkan polis Bukit Aman.
Namun, tindakan Perkasa itu dilihat terlalu lambat memandangkan isu
itu mula ditimbulkan Pakatan Rakyat sejak lebih setahun lalu.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April tahun lalu
mendedahkan kewujudan perisik Israel dalam pasukan polis yang telah
disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.
Anwar berkata penglibatan syarikat berkenaan adalah melalui
subkontrak daripada sebuah syarikat tempatan untuk menaiktaraf sistem
komunikasi analog PDRM kepada sistem digital.
No comments:
Post a Comment