Sunday, November 20, 2011

Hadir angkat sumpah tapi tidak iktiraf Khusrin – Khalid

“(Namun) kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana,” kata Khalid dalam kenyataan beliau.





SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berkata, beliau bersama seluruh exco kerajaan negeri akan hadir pada majlis pengurniaan darjah kebesaran kepada Raja Muda Selangor namun ia bukan bererti mereka mengiktiraf Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru, Datuk Khusrin Munawi.
“Kehadiran seluruh exco kerajaan kegeri hari ini dalam majlis penuh istiadat pengurniaan darjah kebesaran kepada Raja Muda Selangor adalah sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor.
“(Namun) kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana,” kata Khalid dalam kenyataan beliau.
Tambah Khalid, kehadiran mereka juga tidak harus sama sekali dilihat sebagai merelakan tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melangkaui autoriti kerajaan negeri dalam hal ehwal pentadbiran negeri.
Khalid juga turut menyatakan pihaknya sudah memaklumkan Sultan Selangor hasrat mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi mengembalikan kuasa melantik pegawai-pegawai utama negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.
“Kita juga telah memberi maklum kepada Sultan bahawa satu sidang Dewan Negeri Selangor akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi  mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri,” kata Khalid.
Tindakan tersebut, menurut Khalid, sekaligus menidakkan dakwaan mereka yang menuduh kerajaan negeri derhaka kepada Sultan. Sebaliknya, kerajaan Selangorlah yang akan membaiki kerosakan akibat krisis Perlembagaan 1993.
“Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan mereka yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan kerajaan negeri Selangor sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan,” kata Khalid.

No comments:

Post a Comment