Sunday, November 20, 2011

Khir Toyo pencetus masalah pelantikan SUK




Tindakan mengenepikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkaitan urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), berpunca daripada tindakan Menteri Besar terdahulu , Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang membelakangkan perlembagaan negeri.
Menurut Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, tindakan “melanggar perlembagaan” itu berlaku kerana sikap tidak ambil peduli Khir , sehingga membolehkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyalahguna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan SUK.
“Beliau telah mengizinkan KSN melantik Datuk Ramli Mahmud sebagai SUK tanpa berunding dengan menteri besar seperti yang disyaratkan perlembagaan.
“Beliau (juga) telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila sekali lagi melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK negeri Selangor yang baru tanpa berunding terlebih dulu dengan menteri besar,” kata Faekah Husin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Faekah turut menyelar KSN yang didakwa mengabaikan kebijaksanaan dengan melantik Khusrin tanpa mengambil kira kelayakan dan kredibiliti, serta berunding dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
“UMNO telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Negara pada 1993 tetapi sekarang mereka cuba bersembunyi di sebalik Istana untuk meneruskan agenda politik jahat,” katanya.

Faekah mengulangi pendirian bahawa jawatankuasa pemilihan telah dibentuk oleh Menteri Besar sebelum ini
bagi memastikan jawatan SUK diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

Jelas Faekah, ia juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka.
“Hanya kerana kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan sekarang perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment