Lahirnya kerajaan penjajahan ialah untuk memperhambakan manusia dan
lahirnya kerajaan Islam pula ialah untuk membebaskan manusia dari
perhambaan.
PETALING JAYA: Kewujudan parti PAS sejak lebih 60 tahun lalu
bertujuan untuk mengambil alih pemerintahan di negara ini bagi
membebaskan manusia dari ‘perhambaan sesama manusia’.
Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, lahirnya kerajaan
penjajahan ialah untuk memperhambakan manusia dan lahirnya kerajaan
Islam pula ialah untuk membebaskan manusia dari perhambaan.
“Sesungguhnya Allah SWT memerintah kamu untuk menunaikan amanah
(menerusi pemerintahan Islam yang adil dan saksama untuk semua bangsa
dan agama),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Perdana
bersama Presiden yang bertema ‘Hargai Perjuangan’ di Kompleks Belia dan
Sukan, Seksyen 7, Shah Alam malam tadi.
Majlis itu dianjurkan oleh Lajnah Bangunan dan Harta, Badan
Perhubungan PAS Selangor bertujuan untuk mengutip dana bagi membiayai
bangunan pejabat baru yang menelan belanja RM1.4 juta di Pusat
Perniagaan Worldwide, Shah Alam.
Hadi menegaskan, “menerusi pendekatan Tahalus Siyasi, kita boleh
bekerjasama dan menjalin persefahaman dengan parti DAP dan PKR.”
Menurut beliau, dalam kitab Al Ahkam Al Sultaniah karangan al Mawardi
disebut bahawa dalam pemerintahan Islam, orang-orang bukan Islam boleh
dilantik menjadi menteri.
Ahli Parlimen Marang itu melahirkan keyakinan sekiranya demokrasi
tulen diamalkan di negara ini, PAS boleh menang dan membentuk kerajaan
persekutuan bersama DAP dan PKR.
“Seperti kemenangan yang dicapai oleh Parti An-Nahdah di Tunisia dan
kebangkitan semula Ikhwan Muslimin di Mesir pada musim bunga Arab (Arab
Spring),” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad
dalam ucapannya merakamkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan
izinNya maka PAS Selangor dapat memiliki bangunan baru tiga tingkat
dengan keluasan lebih 5,000 kaki persegi.
“Ini adalah hasil usaha daripada setiap ahli dan penyokong PAS. Satu
mimpi yang dulunya mustahil kini sudah menjadi realiti,” ujar beliau
yang juga Pengerusi Lajnah Bangunan dan Harta, Badan Perhubungan PAS
negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka.
Lebih 1,000 ahli dan penyokong PAS hadir dalam majlis itu. Turut
hadir Pesuruhjaya PAS Selangor dan juga Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman.

No comments:
Post a Comment