KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sebuah NGO, Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan
membubarkan Parlimen pada bulan ini (November 2011), bagi membolehkan
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Kebangsaan SAMM, Badrul Hisham Shaharin
berkata, berdasarkan maklumat terkini yang diterima oleh pihaknya,
pembubaran Parlimen dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri sekitar
11 November ini.
Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya di luar
jangkaan orang ramai, tetapi maklumat terkini mengenai perkembangan itu
diperolehi oleh pihaknya daripada sumber-sumber dalaman yang boleh
dipercayai.
Katanya, pembubaran Parlimen dalam masa terdekat pasti
akan menambahkan lagi kepincangan proses pilihanraya di tanah air
kerana ia diadakan ketika tuntutan rakyat bagi proses pilihanraya yang
bersih dan adil belum dilaksanakan oleh kerajaan.
"Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat
(paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan,
maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang
dijanjikan oleh Kerajaan BN.
"Sekiranya ini tetap dilakukan, maka tidak dapat
dielakkan persepsi pilihanraya kali ini hanyalah proses 'palsu' bagi
menghalalkan regim Umno BN terus berkuasa," katanya pada sidang media di
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, menurut beliau, SAMM bersama dengan
teman-teman organisasi massa lain yang mewakili rakyat Malaysia
keseluruhannya memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa pilihanraya
umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses
pilihanraya dilakukan.
Katanya, proses penambahbaikan yang dituntut itu juga
seharusnya satu proses 'reformasi' serius yang memberi jawapan kepada
kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan
bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata.
Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Bard
menambah, yakinlah, rakyat sudah mula hilang kesabaran kerana negara
sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya
paling teruk sekarang.
"Jika pilihanraya umum masih berlaku sebelum proses
penambahbaikan pilihanraya yang menyakinkan, kami berjanji akan
menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar," tegasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat akan
turun bukan sahaja untuk melakukan protes, tetapi benar-benar untuk
menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk
mendapatkan proses demokrasi pilihanraya yang bersih dan adil.
"Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan
bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil
dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan,"
ujarnya.
Di serata dunia kebelakangan ini, katanya, pelbagai
pihak dapat melihat kebangkitan kuasa rakyat menundukkan pemerintahan
diktator di beberapa buah negara.
Menurutnya, di Malaysia pada 9 Julai lalu, ribuan
rakyat telah memilih jalan raya untuk mendesak penambahbaikan proses
pilihanraya negara yang terbukti dicemari pelbagai kecacatan yang sering
dinafikan pihak pemerintah.
"Kepincangan proses pilihanraya telah diakui oleh
Datuk Seri Najib dengan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas
Berhubung Dengan Proses Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (Jawatankuasa
Pilihan Khas Parlimen)," katanya.
Bercanggah dengan pengakuan betapa perlunya proses
penambahbaikan proses pilihanraya, tegasnya, kenyataan umum terus
dikeluarkan oleh pimpinan BN dan Perdana Menteri sendiri yang
mencadangkan bahawa PRU Ke-13 diadakan tidak lama lagi dan tidak perlu
menunggu proses reformasi proses pilihanraya selesai.
"Malah lebih menggusarkan dan lebih bercanggah dengan
jaminan untuk menambahbaik proses pilihanraya, timbul pula pelbagai
perkembangan negatif seperti pemberian taraf warganegara kepada rakyat
asing secara 'istimewa' untuk tujuan mengundi (khususnya bagi pihak BN)"
ujar beliau.
Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Malaysian
Civil Liberties Movement (MCLM), Haris Ibrahim; Pengerusi League
Unemployed Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia
(PRM), Dr Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS
Jenapala.
No comments:
Post a Comment